Sunday, October 21, 2012

EMPAT CARA TERBAIK MEMBINA KEYAKINAN DAN MENGATASI KETAKUTAN


  1. Berhenti mendengar kata-kata negatif daripada orang-orang yang negatif. 
  2. Jadikan pengalaman lepas sebagai batu loncatan untuk mencapai kejayaan, bukan menjadikan anda hilang akal.
  3. Hadapilah ketakutan anda dengan mengenalpasti cabaran anda. Carilah mentor kejayaan anda dan dapatkan nasihat mereka. Mentor kejayaan anda mestilah mereka yang positif dan memahami apa yang anda usahakan, bukan dengan mereka yang negatif.
  4. Buangkan segala kekecewaan anda. Pandang kehadapan dan maafkan kesalahan diri anda dan orang lain. Teruskan hidup anda mengejar impian dan usahakan dengan cara yang betul.

Saturday, October 20, 2012

TIPS MENGURANGKAN BERAT BADAN ANDA

Anda yang berbadan macam saya ni, pasti mengidamkan tubuh badan menarik bukan. Saya pun sama juga seperti anda. Semenjak beberapa tempoh yang lalu, saya berusaha untuk mengurangkan berat badan. Alhamdulillah berjaya..... Mari saya sharekan tips TERBUKTI BERKESAN untuk anda. Tiada sebarang pengambilan ubat-ubatan.

1. Minum banyak air masak. 
2. Minum selepas 1/2 jam makan.
3. Kerap makan tapi setiap kali makan nisbah sedikit atau nisbah besar tapi kurangkan makan.
4. Kurangkan gula, garam, lemak, kolestrol.
5. Bersenam 1/2 jam setiap hari.

Saya akan kongsikan lebih jelas tentang perubahan diri saya serta bagaimana saya lakukan dalam e-book saya nanti. Berat saya 3 minggu yang lalu 121kg, hari ini 115kg.
E-book saya akan saya terbitkan setelah saya berjaya mengurangkan berat saya kepada 100kg. Nantikan yerrr.

Saturday, October 13, 2012

Sistem Aliran Kuasa Minda Kejayaan

Assalamualaikum, syukurku panjatkan segala kenikmatan yang telah Allah kurniakan pada diriku. Kekuatan menulis pada hari ini bukan suatu yang mudah bagi saya. Namun, dengan IzinNya kembali saya berblog lagi.

Kita biasa mengalami keadaan untuk berhenti dari sesuatu tabiat atau untuk mencapai sesuatu matlamat hidup menjadi sesuatu yang sukar untuk dicapai. Anda mencuba, dan terus mencuba namun hasilnya anda masih gagal menghentikan tabiat tersebut atau mencapai matlamat anda. Pasti ada yang telah pun berhenti berusaha kerana telah berputus asa. Nasihat saya, jangan anda berhenti dahulu kerana masih ada cara untuk anda memulakan kehidupan yang anda mahukan.

Sedarkah bahawa anda sebenarnya anda memerlukan segala-galanya yang anda perlukan untuk pengembaraan anda mencapai kejayaan. Anda sebenarnya boleh mencapai apa sahaja yang anda mahukan dengan hanya membuatkan minda anda berfungsi rapat bersama-sama dengan minda bawah sedar anda. Namun ia masih memerlukan latihan berterusan untuk memperolehi hasilnya.

Dalam siri membina Sistem Aliran Kuasa Minda Kejayaan akan membongkarkan kaedah yang telah lama popular namun. Masih ramai yang tidak menyedarinya. Sistem ini dijenamakan mengikut jenama saya, namun kaedah dan pelaksanaan masih bersandarkan kepada banyak kajian yang telah dijalankan oleh pakar psikologi serta pakar kauseling.

Sistem Aliran Kuasa Minda Kejayaan (SAKMIK) atau Mind Power Flow Sistem Success akan mengongsikan kepada anda tentang bagaimana untuk mendapatkan yang terbaik daripada sistem yang ada didalam diri anda yang telah lama mengalir tanpa anda sedari supaya hidup anda lebih menyeronokkan.

Fokus
Namun sebelum anda boleh mencapai matlamat dan impian anda, anda harus tahu apakah yang anda mahukan agar anda boleh memberikan tumpuan kepadanya. Jika anda mahukan perubahan, peningkatan dalam diri, mencapai kejayaan, mendapat kenaikan pangkat, kejayaan dalam perniagaan, atau apa sahaja matlamatnya anda harus tahu daripada senarai panjang matlamat anda, yang mana satukah yang penting. Sudah pasti anda mengatakan semuanya penting. Tidak, cuba perhatikan yang mana satukah yang sangat penting untuk anda capai.

Sebagai contoh, daripada senarai panjang matlamat saya, perkara yang sangat penting bagi diri saya adalah boleh memberikan pengucapan umum dalam bahasa Inggeris. Perkara lain juga penting iaitu kenaikan pangkat, membina syarikat, melangsaikan hutang dan sebagainya, namun pengucapan awam dalam bahasa Inggeris lebih penting bagi saya.

Setelah anda ketahui apa yang paling penting untuk anda, selanjutnya anda membina perancangan. Iaitu perancangan cara untuk anda sampai kepada matlamat yang anda tag sebagai amat penting.

Tahukah anda, bahawa 80% manusia yang menyenaraikan matlamat mereka mencapainya namun hakikatnya tidak lebih daripada 5% sahaja daripada penduduk dunia menulis matlamat dan keinginan mereka. angka yang besar jurangnya. Hanya semudah menulis matlamat, objektif dan perancangan meningkatkan peluang kejayaan anda kepada 80%.

Para jutawan, hartawan, pemilik syarikat yang hebat dan berjaya, jurujual yang mencapai sasaran jualan, tokoh-tokoh hebat dan berjaya  di dunia ini menulis matlamat dan pelan tindakan yang terperinci sebelum mereka benar-benar berjaya.

Mengapa dengan menyediakan perancangan dan memutuskan tindakan memberikan perbezaan yang besar?

Ini kerana apabila anda membuat keputusan, menuliskannya, membina pelan tindakan sebenarnya anda telah menghantar mesej maklumat kepada minda bawah sedar anda bahawa anda bersedia untuk berjaya dan anda mahukan hanya kejayaan.

Menulis matlamat anda serta pelan tindakan merupakan mesej berkuasa tinggi yang dapat menjana minda bawah sedar anda untuk bergerak mencapai matlamat.

Saya bukan sahaja telah menjadikan sebagai rutin kehidupan saya malah saya juga turut menjadi fasilitator tentang Sistem Aliran Kuasa Minda Kejayaan. Memulakan dengan fokus kepada apa yang anda mahukan, memutuskan yang manakah benar-benar anda mahu capai dan seterusnya menghantar mesej yang betul kepada minda bawah sedar anda.

Kenalpasti Apa Yang Anda Mahukan
Seorang peserta pernah bertanya kepada saya "bagaiman hendak saya tuliskan jika saya sendiri tidak tahu apa yang saya mahukan? Pengalaman saya sebagai seorang kaunselor adalah perkara biasa mendengar perbicaraan sebegini. Mereka kebiasaannya bukan tidak tahu, mereka tidak sedar wujud didalam sanubari mereka minat dan keinginan namun telah ditutupi oleh pemikiran, kepercayaan negatif, mereka keliru kerana selama ini mereka hidup dalam ketakutan dan keraguan dengan diri sendiri?

Akan bersambung...


















































































































Thursday, September 20, 2012

MINDA ANDA, GENERATOR KUASA ANDA


Pentingkah untuk saya kuasai minda saya? Hebat sangatkah saya, kalau saya boleh mengawal minda saya? Macam tak logik jer? Ini mesti guna ilmu hitam ? Ehhh... saya ni dah tua, otak dah berkarat ....  Sebelum jari jemari saya menari pantas diatas papan ipad saya ini, izinkan saya menceritakan apakah yang dimaksudkan dengan mengawal minda.

Minda yang saya maksudkan adalah minda bawah sedar. Ada penulis buku yang menggunakan istilah minda kreatif. Untuk anda faham tentang minda bawah sedar ini anda perlu faham tentang cara anda berfikir, kepercayaan anda, kata-kata atau perbualan yang tidak pernah berhenti-henti bermain didalam minda anda. Apakah yang sering anda fikirkan tentang diri anda? Kepercayaan apakah yang anda sering dakap erat sepanjang anda hidup ini? Apakah ayat-ayat perbualan anda dengan diri anda sendiri?

Sudah tentulah apa yang anda fikirkan adalah ..... "malulah aku nak bertanya, nampak sangatlah aku ni bodoh sangat.... apa! nak jual air tepi jalan, carilah cara lain nak dapat duit tambahan, malulah, jatuh standard aku.... aku ni tak pandai cakap, macamana nak buat insurans, cukuplah apa yang dah ada, asal boleh makan, tidur dan jalan, tak payah nak usaha lebih-lebih nak kejar Anugerah Perkhidmatan Cemerlang... Ala dia tu bolehlah dapat, sebab kuat membodek... orang ni pakai kereta besar ni mesti buat kerja menipu orang, ye lah muda-muda lagi dah boleh pakai....buat apa nak pergi kursus- kursus ni, buang masa dan duit jer..."

Sudah tentulah kepercayaan anda adalah.... "keluarga aku semua makan gaji, tak mungkin aku boleh berjaya buat bisnes... nak buat sales ni mesti nak orang yang pandai berbahasa Inggeris, muka cantik, badan mengancam ... aku dah tua, mustahil boleh sambung belajar lagi.... dah 3 kali aku buat, gagal jugak. Aku memang tak ada nasib nak berjaya. Aku tak cantik... aku tak berani, aku takut... aku sentiasa sakit... aku tak pandai... aku bodoh..."

Sudah tentulah kata- kata anda adalah ... "Si polan  tu bolehlah sebab dia graduan, pandai cakap, bijak, boleh berbahasa Inggeris, aku ni dah lah setakat SPM je, bahasa Inggeris yes, no , what u name jer yang aku tahu.. itu pun betul atau tidak, memang bidang ni tak sesuai untuk aku...."

Jika inilah cara anda berfikir, sistem kepercayaan anda, perbualan dalaman anda, maka itulah sebenarnya minda bawah sedar anda. Minda bawah sedar anda adalah apa yang anda fikirkan sekarang, kepercayaan anda selama ini dan perbualan anda dengan diri anda setiap masa. 

Minda bawah sedar anda adalah hamba anda, jika anda suruh A maka tanpa bersoal jawab A lah yang akan ia arahkan tubuh badan anda laksanakan, jika B yang anda perintah maka B lah tindakan yang akan anda laksanakan. 

Saya berikan contoh lagi, anda hendak pergi temuduga kenaikan pangkat, namun persediaan yang anda buat adalah anda fikirkan sepanjang hari yang anda akan menghadapi situasi temuduga yang sukar, penemuduga yang banyak bertanya soalan-soalan sukar, anda tidak selesa semasa ditemuduga. Sistem kepercayaan terus diterima minda bawah sedar , kemudian diterima pula oleh perasaan anda yang membentuk perasaan takut, terganggu, seram sejuk. Maka apa hasilnya, pada hari anda hendak pergi menemuduga anda bangun lewat, anda kelam kabut bersiap diri, anda gemuruh, anda tersekat dalam kesesakan lalulintas, anda dimarahi kerana lambat, penemuduga anda menjadi penemuduga yang sangat menggerunkan, semua idea bernas dan hebat anda hilang serta merta. Anda akan merasakan diri anda amat malang sekali pada hari itu.

Persoalannya disini, bagaimana kaedahnya untuk membentuk sistem kepercayaan, cara berfikir dan perbualan minda anda yang telah bertahun-tahun anda bawa. Jawapannya boleh. Malah dengan mengubahnya sekarang ini juga dan menyekat segala pemikiran, kepercayaan dan perbualan negatif anda, anda mampu mencorak langkah baru menuju apa yang anda ingini selama ini. 

Jika anda mahu menjadi seorang atlit yang hebat, pemuzik yang terkenal, usahawan berjaya, pekerja yang disenangi, penceramah atau pemidato yang terkemuka, pelajar yang cemerlang, apa yang perlu anda laksanakan adalah menukar apa yang anda fikirkan tentang diri anda, tukar segala kepercayaan anda, dan ubah perbualan diri anda. 

Ingin saya buktikan betapa anda boleh mengubahnya  sekelip mata. Baiklah, ikuti apa yang saya beritahu kepada anda. Sekarang anda bayangkan peristiwa paling menyedihkan dalam hidup anda. Buatkan pula perasaan anda merasakan kesedihan atas peristiwa itu. Jika anda telah pun merasai sepenuhnya kesedihan tersebut, anda lakukan pula pergerakan ini. Dongakkan kepala anda keatas, dada anda di tegakkan, postur badan anda juga ditegakkan, naikkan kedua-dua tumit kaki anda dan anda senyum. Kongsikan kepada saya pada kotak komen, apakah yang anda rasai. Sedikit tambahan, cuba pula tonggengkan sedikit punggung anda pula. Apa pula yang terjadi dengan anda?

Selamat mencuba.

Soalan saya adakah anda mampu bersedih lagi ?


Wednesday, September 19, 2012

KESAN IKLAN KOMERSIAL, DRAMA DAN FILEM PADA KEWANGAN DAN EMOSI ANDA




Stesen tv, media cetak akhbar dan majalah tidak pernah sepi dengan iklan komersial. Malah dengan meningkatnya kemasukan iklan bermakna meningkatlah keuntungan mereka. Pengusaha perniagaan juga akan berusaha untuk mengiklankan produk dan perkhidmatan mereka, kerana mereka jelas tentang kuasa tarikan yang boleh diberikan oleh media massa. 

Tujuan artikel ini, bukanlah kerana perasaan tidak puashati saya terhadap media massa, atau untuk memboikot media massa. Namun hakikat dan realiti perlu saya terbitkan disini agar memberikan peluang untuk pembaca untuk membuat pilihan.

Saya sentuh dahulu berkenaan iklan komersial melalui media tv, yang hanya ditayangkan beberapa saat tetapi secara kerap. Mengapa ya? Kekerapannya sehinggakan walaupun kita tidak menonton namun hanya mendengar suara atau irama iklan sudah kita kenali apakah iklan tersebut dan cukup,membuatkan kita tertarik kepadanya. Kekerapan tayangan menjadikan tanpa kita sedari ia telah di simpan didalam minda bawah sedar kita.Sesuatu perkara untuk masuk ke dalam minda bawah sedar perlu dihantar secara kerap, jika tidak ia hanya sekadar sampai pada minda sedar.

Untuk memudahkan anda memahami, saya bagi contoh sebegini, pada kali pertama kita memandu kenderaan, kita masih menggunakan sepenuhnya minda sedar kita untuk kita mengingat setiap proses sehingga kereta boleh bergerak. Kita perlu pakai tali pinggang, kemudian betulkan cermin sisi dan belakang, hidupkan enjin, tekan pedal clatch, masuk gear 1, perlahan-lahan lepaskan pedal clatch dalam masa sama perlahan-lahan tekan pedal minyak dan dalam masa yang sama turunkan brek tangan. Alangkah seksanya, banyak perkara hendak dikawal dalam masa yang sama. Sehinggakan ada sesetengah pemandu baru apabila hendak menukarkan gear, pergerakan kenderaan lari dari laluannya. 

Namun, apa yang terjadi kepada pemandu novis dan expert. Semua perkara itu, sudah tidak perlu dikawal. Secara langsung ia bergerak mengikut prosidur, sehinggakan bila dah terlalu expert perjalanan pulang tidak sedari langsung, tiba-tiba dah sampai rumah kerana mengelamun entah kemana sewaktu memandu tadi. Apa yang mengawalnya pula kalau bukan kita, itulah minda bawah sedar kita yang lakukan tugasnya.

Sama jugalah jadinya dengan iklan yang kerap ditayangkan, walaupun anda tidak menontonnya cukup sekadar anda melihatnya sekali dan kemudiannya mendengarnya berulang kali sudah menjadikan gambaran jelas terbina didalam minda bawah sedar anda dan juga membina keinginan untuk memperolehkan produk tersebut. Sedangkan hakikatnya anda tidak perlukannya, anda masih mempunyai produk seumpamanya yang sudah memadai, namun kesan terbinanya gambaran produk pada minda bawah sedar, maka anda belilah. 

Pembaziran wang pun berlaku. Mengapa perlu mempunyai terlalu banyak kasut, minyak wangi, baju, jam, pinggan mangkuk, sudu garpu, periuk belanga  (lebih-lebih pulak saya ni) dan sebagainya. Dengan membuang tabiat membeli untuk gaya bukan untuk keperluan. Anda boleh berjimat banyak wang ringgit untuk masa depan anda dan anak-anak. Anda juga boleh membuat pelaburan untuk menjana wang ringgit hasil penjimatan anda berbanding jika ia ditukarkan kepada produk yang sekadar untuk memenuhi gaya anda. 

Sebagai contoh mudah, anda sudah mempunyai minyak wangi yang harum dan masih banyak berbaki, namun kerana kuasa iklan minyak wangi jenama lain yang memaparkan jejaka tampan bersama gadis jelita terjun berenang ke dalam lautan. Wahhhh! bergaya dan seksi ya...Maka anda pun terpukau untuk memiliki produk tersebut.

Disamping itu, jika kita perhatikan. Kebanyakan iklan komersial juga filem dan drama akan menggunakan model atau pelakon yang jelita, tampan, badan yang menarik, tegap dan indah-indah belaka. Tiada pun model dan pelakon yang berbadan seperti saya diambil. Tak laku agaknya produk mereka nanti jika saya diambil jadi modelnya. Namun hakikatnya dan realitinya rakyat Malaysia kebanyakannya berwajah biasa dan bertubuh biasa. Kesannya, penonton yang menonton akan mengalami gangguan emosi, perasaan, pemikiran untuk memperolehi susuk tubuh dan indah wajah seperti yang dilihatnya. Bagaimana ya! Wajah saya yang berkulit gelap hendak di cerahkan? Macamana ya! hendak memiliki tubuh sebegitu?  

Kesannya, emosi kita marah, kecewa dan berduka yang boleh memudaratkan sehingga menjadi depresi. Sehingga ada individu kecewa gagal mencapai susuk wajah dan badan idaman makan lebih banyak, katanya "mengubat hati yang kecewa". Ada juga yang sudah bosan dengan berdiet cara yang baik bertukar mengambil pil kurus atau ubat kurus untuk lebih cepat kurus, tetapi penyakit lain yang datang sehingga memudaratkan diri. Ada yang maut dan semuanya kerana hendak cepat kurus untuk tampak kacak gaya Aeron Aziz atau secantik Maya Karin atau juga Lisa Surihani. 

Macamana pula ya dengan surat khabar? Sewaktu saya mengikuti program Millionnaire Mind Power, saranan Dato Dr Ibrahim agar jangan dibaca akhbar di awal pagi, mengapa ya? Sebabnya jika kita baca akhbar, amat kurang sekali beritanya yang sangat menggembirakan kita, kebanyakannya adalah berita kematian, rompakan, peperangan, ragut dan sebagainya. 

Soalan saya pada anda. Apa bezanya jika anda membaca akhbar berbanding buku motivasi atau al-quran? Anda pasti akan rasa bezanya. Cubalah, pasti anda setuju dengan saya. Saya ceritakan dahulu bezanya, nanti anda rasakan sendiri ya. 

Setelah anda membaca akhbar, anda pasti akan rasa risau tentang keselamatan anda, kewangan anda, persekitaran anda. Jika anda membacanya diawal pagi, seluruh hari anda mungkin akan diganggu dengan kerisauan dan kebimbangan. Kerisauan dan kebimbangan akan menghasilkan tenaga negatif yang langsungnya memberikan kesan kepada dalaman anda iaitu pemikiran dan perasaan. Hasilnya tindakan anda juga terpengaruh dengan apa yang anda rasa dan fikirkan. 

Manakala jika anda membaca buku motivasi, atau membaca al-quran anda akan berasa semangat yang berkobar, perasaan hebat, pemikiran yang cergas dan positif, hati yang tenang, aman dan berkeyakinan. Mengapa? Kerana kata-kata dan ayat-ayat yang menghasilkan tenaga positif kepada anda secara dalaman dan luaran. Hasilnya mungkin sepanjang hari anda akan postif dan bersemangat. 

Isteri saya bertanya kepada saya jika tv tak boleh ditonton dan akhbar tak boleh dibaca, apa yang boleh dibuat? ada pilihan lain untuk anda jika anda mengambil berat tentang apa yang saya katakan ini. Anda masih boleh mendengar radio, kerana kesannya sangat kurang atau anda boleh melayari internet kerana di internet anda boleh mengawal apa yang anda hendak baca dan lihat.

Selamat mencuba...






Tuesday, September 18, 2012

JAGALAH KESIHATAN

Semenjak dari 2 hari lepas keadaan kesihatan saya terganggu akibat jangkitan kuman pada tekak, kesan jangkitan merebak sehingga seluruh badan terasa sakit bisa-bisa dan deman. Baru terasa nikmatnya sihat.

Pada ketika ini, saya teringatkan sewaktu saya ditahan di wad beberapa tahun yang lepas akibat TB amat menyeksakan. Pembedahan kecil dibuat di katil sahaja. Pandangan saya pembedahan kecil tidak menyeksakan namun saya silap sama sekali. Alat besi panjang dicucuk ke dalam badan saya sehingga ke bahagian paru-paru. Saya hampir pengsan dengan prosidur yang dilakukan. Maklum doktor pelatih yang seramai 3 orang ia bagi mengambil sampel tisu pada paru-paru. Alhamdulillah, sekarang saya telah pulih.

Haa.. sebenarnya saya nak berkongsi tentang maklumat yang saya perolehi dari sesi perjumpaan saya dengan jururawat yang menhambil butir diri saya serta pegawai pemakanan. Saya mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Pekan Nenas. Waaa... dah semakin bagus perkhidmatan mereka. Ruang menunggu giliran telah diluaskan. Jadi ramailah yang boleh duduk semasa menunggu angka giliran dipaparkan pada kotak digital untuk sesi rawatan dengan pegawai perubatan atau pembantu pegawai perubatan.

Sewaktu sedang menunggu giliran, saya telah dipanggil oleh jururawat yang manis. Timbangan berat badan saya diambil, kemudian tekanan darah tinggi diambil. Mengejutkan juga sebab bacaan mencecah 120/90 ... tinggi bukan? a sudah tinggi.. Berat badan pula 121kg. Timbangan berat masih sama semenjak tahun 2010. Maintain jugak yerrrr.... hehe sebenar dalam tempoh tersebut angka nombor kg tu dah pernah mencecah 130Kg... Namun berkat bulan puasa dan kawalan makanan dah kembali angka tu kepada 121kg..
Nasihat jururawat manis itu (saya simpulkan) jagalah makan dan bersenam. Saya terima nasihatnya sebab badan saya masih gemuk. Namun kini saya mengamalkan teknik dalam Law of Attraction bagi mencapai kembali berat ideal saya iaitu 73kg. Teknik amat berkesan beberapa kali kepada saya, dan kini saya mengusahakan untuk masalah berat badan saya. Jika anda hendak tahu apa itu konsep dan kaedah Law of Attraction, disini saya paparkan http://www.abraham-hicks.com/lawofattractionsource/index.php

Setelah diambil butir diri kesihatan, jururawat tersebut membantu saya berjumpa dengan pegawai pemakanan yang berada di klinik ibu mengandung (sebelah bangunan jer). Peluang berjumpa dengan pegawai pemakanan ini saya ambil dengan sespenuhnya untuk mendapatkan maklumat tentang cara pemakanan diet saya sekarang ini. Untun pengetahuan, usaha menjaga diet saya ini telah brmula semenjak selepas raya 2012. Usaha bagi mengembalikan tahap kesihatan yang optimum untuk saya.

Antara saranan pegawI pemakanan tersebut, makan buah sebelum makan....Waaaaaahhhh! Memang benarlah, sebab junjugan nabi S.A.W juga menyarankan makan buah sebelum makan. Buah yang sesuai untuk dimakan ialah epel hijau, epel merah dan oren. Buah tropika tidak sesuai sebab tinggi kandungan gula. Makan buah ini pun hanya sekadar 2 biji sehari.

Jika anda juga mahukan berat bacan yang ideal mungkin anda boleh mulakan dengan usaha ini,tinggalkan minum air manis. Menurut pegawai tersebut hasil kajian menunjukkan jika pengambilan gula ditinggalkan selama setahun berat badan kita boleh turun sebanyak 12kg..hah apa lagi...mailah join....Selamat mencuba...









Monday, September 17, 2012

BAGAIMANA MENDAPATKAN KEBAHAGIAAN SEPANTAS MUNGKIN

Sebagai insan yang dinamakan manusia, kita tidak lari dari menghadapi pelbagai perkara yang mengecewakan, mendukacitakan, merunsingkan, meresahkan. merisaukan dan menyedihkan.

Pastinya ia menimbulkan keadaan kurang senang pada diri kita. Ya, teragutlah rasa bahagia dalam diri serta merta. Kesannya, hidup kita merana, menderita dan yang paling malang peristiwa malang itu meragut kesihatan, kebahagiaan bersama keluarga, kecekapan melaksanakan tugasan, timbangan berat badan mula meningkat, kecantikan dan kekemasan diri mula diabaikan. Sudah pasti ia bukan sahaja mendukacitakan diri kita malah insan disekeliling kita.

Jadi bagaimana ya ingin kita kecapi kembali kebahgiaan kita sepantas mungkin? Berikut saya senaraikan beberapa perkara yang boleh anda lakukan serta-merta.

Kembali Kepada Allah 

Kembali kepada Allah. Lafazkanlah ucapan Astaghfirullah atau Nauzubillah Himinzaalikh... Kita kembalikan kepada Allah. Yang baik itu datang dariNya yang buruk juga datang dariNya. Apa yang terjadi mengandungi hikmah disebaliknya. Allah memberikan ujian kepada kita kerana Dia tahu kita kuat dan mampu berhadapan dengan ujian tersebut. Perserahan tersebut memberikan minda kreatif  kita menghantar maklumat ketenangan dan kedamaian kepada jiwa kita.Pastinya sedih namun, ia tidak memberikan akibat buruk kepada fizikal dan mental kita.

Seorang rakan saya telah kehilangan anak perempuannya akibat dibunuh dengan kejam. Amat menyedihkan, anak yang disayangi nyawanya dirugut oleh manusia yang kejam. Sedih dan kecewa, namun beliau sedar nyawa adalah milik Allah, penyerahan kepada Allah menjadikan beliau dapat mengawal diri dan emosi kepada ketenangan jiwa sebenar. Al-Fatihah kita sedekahkan untuk anaknya.

Bersujudlah

Tahukah anda bahawa, bersujud adalah perkara yang sangat Allah suka kita lakukan. Ia menggambarkan bahawa kita amat hina dina disisi Allah. Ini kerana kita merendahkan kepala kita menyambah kebumi dengan punggung lebih tinggi daripa kepala kita.

Keraplah bersujud, memohon apa yang anda mahukan semasa bersujud. Percayalah, bahawa perbezaan yang amat besar setelah anda lakukan dengan kerap.

Bersolatlah

Seorang pemuda bertanyakan kepada seorang pendidik agama " Ustaz, hidup saya dipenuhi dengan pelbagai masalah, masalah kewangan, perniagaan, rumah tangga" Nasihat ustaz "Bersedekahlah" Namun selepas beberapa ketika datang dia kembali "Ustaz, saya telah pun bersedekah, namun masih ditimpa masalah, hidup saya masih susah" Ustaz bertanya " Adakah kau bersolat. Jawab pemuda " Tidak" Ustaz mengarahkan dia bersolat. Namun pemuda itu kembali selepas beberapa ketika dan memberitahu " Ustaz! saya sudah bersedekah dan bersolat, namun masih lagi hidup saya susah. Ustaz bertanya"adakah kau bersolat berjemaah di masjid?" Balas pemuda "Tidak" Ustaz kemudiannya menyarankan dia usahakan. Setelah beberapa lama kembali lagi dia bertemu ustaz. Maklumnya " Ustaz! memang benar kata ustaz,selepas saya melaksanakan solat secara berjemaah akhirnya Allah telah keluarkan saya dari kesusahan hidup"

Rakan pembaca, kisah teladan ini memang benar kesannya. Usahakan dan lihatlah perubahannya nanti.

Senaman Nafas

Bersenam merupakan tenaga positif. Tenaga positif yang mengalir dalam lingkungan diri kita akan memancarkan hasil positif pada mental dan fizikal kita. Senaman yang paling ringan adalah dengan cara bermeditasi. Amalkan teknik menarik nafas dan menghembus nafas secara perlahan. Meditasi kaedah Islam adalah dengan berzikir.

Setiap nafas yang ditarik dalam dan dihembus perlahan disertakan dengan zikir. Sebagai contoh menyebut Subhanallah (Maha Suci Allah). Pasti akan meredakan ketegangan dan kerunsingan anda.
Persekitaran yang bersih, selesa, aman dan damai diperlukan sewaktu bermeditasi. Kesan yang lebih baik akan diperolehi. Contohnya di taman bunga, tepi kolam, bilik yang nyaman.

Gunalah haruman yang lembut sewaktu bermeditasi, kerana haruman berfungsi mendamaikan jiwa dan melembutkan hati.


Buang Kebencian Ganti Kasih Sayang

Jika anda bermusuhan atau bertelingkahan dengan rakan anda. Usahakan secepat mungkin memaafkan dan memohon maaf. Kebencian mengalirkan tenaga negatif kepada diri kita.Secara mudah segala ketenangan dan kegembiraan diragut oleh perasaan benci dan marah.

Jika berlarutan kebencian ini, boleh mendatangkan kemudaratan kepada diri. Ada seorang pemuda, beliau merasakan sangat kecewa dengan iparnya yang malas membantu jika bertandang ke rumah mertua. Walaupun berpelajaran tinggi dan bergelar guru agama namun sikap yang dipertontonkan tidak menggambarkan sebegitu. Perasaan kebencian timbul, benci yang mendalam. Sehingga wajah pun tidak mahu dipandang.

Akibatnya pemuda ini merasakan kebencian yang sangat mendalam sehingga menjadikan beliau tidak aman jiwa, pening kepala, sakit mata. Kesan ini boleh menjadi lebih mudarat jika pemuda ini terus membiarkan kebenciannya.

Sibukkan Diri

Melupakan kesedihan dengan menyibukkan diri dengan perkara kesukaan kita boleh meredakan kesedihan dan menimbulkan kebahgiaan kepada diri anda. Jika anda suka membantu, sibukkan diri anda dengan mengikuti program amal kebajikan yang dianjurkan oleh banyak badan NGO.

Jika anda suka menulis, tulislah cerpen mengisahkan tentang cerita yang menggembirakan. Jika anda suka memasak, jamulah keluarga anda dengan hidangan enak yang mengenyangkan mereka dan membuatkan mereka gembira.

Apakah perkara yang lebih besar dari melihat orang yang kita sayangi bahagia, Sudah tentu ia juga membahagiakan diri kita bukan...Dengan cara menyibukkan dengan aktiviti yang anda sukai, anda dapat mengalihkan kata-kata minda anda yang negatif kepada positif.


Disini saya sertakan laman yang menjadi bacaan saya. Ia banyak mengubah fikiran dan minda saya selepas membacanya. Harap anda juga dapat menafaatnya. http://janganbersedih.blogspot.com/